Author Archives: nurqider

About nurqider

‘It’s not that I had a very interesting life, but it is me who think and make my life interesting despite of so many spiteful moments'

Sketsa Rayyan dan Furqan (Part 15)

In episode :  Kenduri doa selamat Farhan

Dulu kenduri akikah si kembar diadakan di rumah tokwan dan maktok di Perlis. Itupun selepas umur si kembar mencapai 3 bulan. Disebabkan Farhan dilahirkan di Hospital Putrajaya, maka kenduri akikahnya diadakan di Bangi, genap 7 hari selepas dilahirkan. Jadi maktok dan tokwan berhasrat mengadakan kenduri kesyukuran untuk Farhan ketika ummi balik sebentar ke Perlis semasa berpantang.

Kenduri hanyalah kecil-kecilan sahaja dan tetamu jemputan adalah jiran-jiran, saudara-mara dan kawan-kawan maktok dan tokwan. Lauk pun dimasak secara gotong-royong oleh ibu dan bapa saudara ummi dan jiran-jiran yang ringan tulang datang membantu. Biasalah, kalau semua orang sedang sibuk, ada la dua orang itu pun hendak turut serta menambah kesibukan yang telah ada. Antaranya membantu ‘mengemas’ barang-barang maktok.

Sibuknyalah dua orang itu

Ummi yang masih dalam keadaan berpantang, malas hendak menyerabutkan kepala.

Nak letak ape ye dalam mangkuk ni?

Lauk-lauk semua sedap. Ada kambing, favourite ummi.. *air liur meleleh. Rayyan asyik ‘menjaga’ lauk dari ‘dihabiskan’.

Tukang jaga makanan..

Tetapi ummi dilarang keras oleh tokwan dari membaham lauk kambing. Owhh *meleleh air liur sampai ke dagu. Tukang jaga makanan itu agaknya sudah lapar..

Sudah lapar yeee

Lepas mandi dan makan, apabila nampak semua orang dan ummi duduk berdekatan dengan adik Farhan, maka demi menjaga ‘keselamatan’ adik Farhan, ada dua pengawal keselamatan tanpa baju berseluar hijau terus datang dan duduk dekat-dekat dengan ummi dan adik Farhan.

Jadi jurucakap juga

Sayangnya abang Rayyan kat adik Farhan. Asyik cium adik je, ada apa-apa ke?

Sayang ada makna tuu

Ummi sayang semuanya *muah-muah. Rayyan, lauk kenduri hari itu memang sedap kan? Menjilat siku..

Qider Firdaus
Bandar Baru Bangi

p(^_^)q

gambaru!!


Bersabar dengan ragam anak-anak

Dulu terselit rasa hairanku apabila jiranku mengulas tentang keberadaannya bersama anak-anaknya,

“Kak Yang (bukan nama sebenar) rasa lebih baik meredah jammed pergi office daripada duduk dengan budak-budak tu,” aku sengih tanpa komen.

Kemudian setelah 44 hari berpantang (ini pun setelah ditambah cuti tanpa gaji) selepas melahirkan si kembar, apabila ditanya oleh bosku mengenai si kembar, aku menyatakan bahawa aku berasa berat hati meninggalkan mereka di rumah (iyelah, umur baru sebulan lebih),seniorku berkata,

“Sekarang memang macam tu, nanti rasa tak sabarnya nak datang office!”  mendengar itu, aku terus menanamkan di dalam hati, aku tidak akan mempunyai rasa sedemikian terhadap anak-anakku.

Sekarang…

“Rayyan, kenapa nak londeh seluar tu?!” sergahku melihat Rayyan menolak turun seluar yang baru kupakaikan untuknya. Rayyan muncung dan mengerutkan dahi tanda tidak puas hati.

“Furqan,turun!Berapa kali ummi nak cakap jangan panjat meja/kerusi/tangga?!Kan semalam abang/awak dah jatuh kat situ!” Furqan tidak mengendahkan nada suaraku yang tinggi. Beliau ‘istiqamah’ meneruskan tugasan memanjat kerusi/meja/tangga itu.

“Rayyan,bibik baru ja lap meja/lantai/kerusi, kenapa tuang air/susu tu?!” aku terus merampas botol susu/air dari tangannya, dia merebahkan badannya,kaki dihentakkan dan berdentum rumah dengan tangisannya.

“Furqan,makanlah sikit” terkekek-kekek dia ketawa sambil melarikan diri dariku. Ada kalanya dia meluahkan kembali makanan yang telah di suap ke mulutnya.

Dan ada ketikanya, situasi di atas disusuli dengan rengekan/tangisan Farhan samada lapar atau lampinnya perlu ditukar. Allah..

Alhamdulillah, selepas suami bertegas dan berusaha untuk tetap mengambil pembantu rumah, rumah kami agak teratur dan bersih dan aras suara mak nagaku telah turun sedikit. Ya anak-anak tetap menyepahkan rumah dengan segala makanan, air minuman yang tumpah bercampur dengan mainan dan pembantu rumahku mengelap lebih dari 5 kali sehari jika semua orang berada di rumah. Itu belum baju yang telah dilipat kemas ditarik keluar dari almari, buku yang tidak sempat disimpan dikoyak oleh mereka,perkakas dapur dibawa ke ruang tamu, bergaduh sesama sendiri berebutkan barang (tampar, gigit dan tolak kemudia menangis sekuat hati) ataupun bergaduh denganku kerana inginkan makanan di dalam peti sejuk. Allah Allah…

berebut basikal

Belum lagi part menangis sebab lapar atau terlampau mengantuk tetapi degil tidak mahu tidur.

Dalam kekalutan aku dan suami melayan ‘permintaan’ si kembar, kadang-kadang kasihan pada Farhan kerana selalu dalam dukungan pembantu rumah. Sekarang ini, aku melarang pembantuku mendukung Farhan ketika hujung minggu apabila kami semua memerap di rumah, tetapi hanya mengawasi Farhan bergolek-golek bermain di atas toto yang dilipat khas untuknya, when I went to sort out with his twin brothers. Kadang-kadang sambil mendukung atau menyusu Farhan, aku sempat lagi sort out anything with the twin (sambil riba Farhan, sambil layan si kembar dengan cloth book mereka atau flash card di dalam smartphone ku).

adik yang memahami

Setelah si kembar bercerai susu, mereka sudah kurang bermanja denganku. Hendak tidur, minta dibuatkan susu, mandi semua dengan suamiku. Kebetulan pula suamiku memang sangat prihatin terhadap anak-anaknya (sangat memanjakan anak). Aku jadi cemburu apabila anak-anak jadi bergantung hanya dengan ayah mereka. Aku suka anak-anak bergantung kepada aku dan suamiku, bukan hanya pada salah seorang dari kami.

Hanya setelah cuti bersalin, apabila aku banyak bermain dengan mereka (hancus pantang aku) dan tidak membenarkan urusan mandi, basuh punggung, bancuh susu dan suap makan diswastakan ke pembantu rumah ketika hujung minggu (apabila telah masuk bekerja), maka si kembar tiada masalah untuk tidur denganku jika ayah mereka keluar sebentar dari rumah, janji seorang di peluk sebelah kanan dan seorang lagi sebelah kiri (Farhan ketika itu telah di’pengsan’kan awal-awal lagi, senang anak menyusu badan ni hehe). Malah mereka akan menangis protes jika pembantu rumah hendak memandikan mereka jika aku dan suami ada di rumah.

tak nak potong-potong..terus ngap sebiji

Memang penat menguruskan anak-anak. Tambahan pula, apabila mereka itu kembar, suka bekerjasama dalam segala segi (contoh : protes bersama-sama) dengan adik kecil yang selang setahun dari mereka, aku kadang-kadang rasa hendak pengsan (bukan sebab penat, tapi sebab menahan marah). Ada kalanya aku rasa ingin sahaja membawa mereka ke padang, biar mereka berlari sepuas-puasnya dan aku berbaring memerhatikan mereka bermain.

Letih juga asyik melompat dengan mereka. Thanks to technology, lepas melompat dan berlari ke sana sini,dijerit oleh aku atau mereka yang menjerit kepadaku haha, aku boleh mengajar anak-anak dengan flashcard di telefon. Hendak buka komputer riba, agak berisiko tinggi, banyak pulak tangan yang nak menekan itu dan ini, lagipun tidak elok anak-anak menonton televisyen sahaja, aku pun naik mengantuk melayan BabyTV seharian (dari pagi sampai ke malam kot).

Tetapi untuk aku memilih antara pejabat dan anak-anak, aku rela menghadap anak-anakku yang masih belum pandai mengemas rumah, suka memilih makanan, suka main air, tumpahkan susu/yakult merata-rata, tidak mahu duduk diam di restoran itu daripada kerja di pejabat. Ragam anak-anak memang meletihkan, tetapi nanti akan ada suatu masa, kita akan sangat merindui dan menginginkan mereka dalam keadaan sekarang.

Risau juga, adakah aku mampu mendidik mereka dengan baik? Moga aku dan suamiku mampu menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak.

Qider Firdaus
Bandar Baru Bangi

p(^_^)q

gambaru!!


Aku sentiasa suka buku

Baru-baru ini aku mengalami keserabutan emosi yang sangat menyesakkan. Kebolehan untuk meluahkan perasaan dan inisiatif untuk berdiskusi terbang entah ke mana. Dan aku tidak mampu untuk menampung perasaan negatif itu terlalu lama. Ia memakan diriku, jadi aku kembali ke penawar tekanan yang paling berkesan selain kafein,iaitu  membeli dan membaca buku serta memuat turun buku digital (bisik : lagi selamat daripada terjebak membeli tudung berjenama yang mahal gila itu..lagi).

Awal bulan yang lalu aku menghabiskan sebahagian gajiku di Pesta Buku Antarabangsa 2012 di PWTC. Kemahuan yang kuat untuk tetap sampai ke situ seperti tahun-tahun yang sebelumnya membuatkan aku mengheret mak dan ayah yang berkunjung ke sini ke pesta buku tersebut. Juga,aku meninggalkan Farhan dengan suami beserta bekalan dua botol susu perahan untuknya. Sanggup kan? Aku tidak pernah ke mana-mana lagi (kecuali ke pasaraya, itupun semuanya diangkut sekali) selepas melahirkan Farhan atau meninggalkan dia dengan orang lain (kecuali ketika pergi ke pejabat).

Hasil pancingan di Pesta Buku Antarabangsa 2012

Setelah ‘sebeban’ buku dibeli di pesta buku tersebut, dua hari lepas aku mengajak rakan sepejabat yang pernah menjadi teman serumahku ke Giant untuk membeli novel sejarah Islam yang kami jumpa ketika makan di sana. Ketika itu peniaga tersebut berjanji memberi potongan harga dan aku kembali menuntut janji beliau dengan ‘merembat’ 3 buah novel tersebut. Tetapi aku rasa tertipu kerana beliau tidak memberi potongan seperti yang dijanjikan. Aku menyedarinya setelah beredar dari booth buku beliau, cis!!

Aku jarang mampu bersabar membaca novel terutamanya novel cinta, jadi aku kurang membeli novel, hanya meminjam dari kawan-kawan. Tetapi aku jatuh cinta kepada novel ini setelah membaca novel bertajuk Tariq bin Ziyad : Menang ataupun syahid. Aku ingat dulu mak pernah membelikanku buku cerita kanak-kanak bertajuk Ali bin Abu Talib serta beberapa buah yang lain yang aku lupa tajuknya serta sudah tiada dalam simpananku. Aku juga pernah dihadiahkan buku cerita mengenai hijrah Rasulullah SAW (tak ingat ke Habsyah atau ke Madinah, tapi masih ingat mukasurat terakhir yang terkoyak itu ada dialong antara ketua rombongan iaitu Ja’afar bin Abu Talib dengan ketua negara tersebut) ketika tadika (tidak ingat juga kenapa mendapat hadiah haha..), dan aku selalu ‘membuli’ pengasuhku untuk membacakan buku itu kepadaku, berkali-kali (*sengih nakal). Tetapi yang pasti aku suka kepada buku cerita dan cerita mengenai sejarah.

Pada permulaannya aku kurang gemar membaca buku zaman nabi Muhammad SAW kerana padaku zaman baginda dan sahabat sesudahnya terlampau banyak kesedihan dan peperangan. Aku lebih sukakan cerita nabi dan rasul yang lain, mungkin sebab padaku (ketika itu) mereka mempunyai mukjizat yang sangat magic! Tetapi apabila aku mula bersekolah dan belajar tentang hadis dan ayat alQuran, aku mula menghargai kisah-kisah zaman baginda dan khalifah-khalifah sesudahnya.

Novel Sejarah Islam

Ini dua dari 3 buah buku yang aku beli. Sebuah lagi adalah Umar al-Khattab : Reformis Dunia Islam. Sudah menghabiskan Sultan Muhammad al-Fateh : Penakluk Konstantinopel, sekarang khusyuk membaca Umar Abd Aziz : Bayangan Khalifah al-Rasyidin. Aku telah mempunyai sebuah buku mengenai Umar Abd Aziz hasil tulisan Prof Madya Rasid Muhamad, it was a good read too.

Alhamdulillah aku tidak mempunyai jadual testing yang ketat seperti minggu lepas, maka aku dengan bahagianya mengambil masa semahu-mahunya dalam menghabiskan novel-novel ini. Sehinggakan ada satu malam aku bermimpi membuat persiapan untuk berperang dengan Rom dek terlalu absorb dengan cerita Sultan Muhammad al-Fateh. Si Farhan pun kupujuk supaya tidur awal hehe..

Ketika pumping session pun aku baca novel ini. Teringat mak pernah bercerita tentang kegilaanku membaca di hadapan kawannya,

‘Kakak ni, menyusu anak pun dia boleh dok baca buku’

Heh.. membaca adalah terapi buatku. Tetapi pastilah membaca al-Quran adalah lebih baik terapinya kerana ia merupakan kalam Allah SWT kepada hambaNya. Mendengarnya pun sudah mampu menenangkan hati, apatah lagi membacanya.

Sekarang ini masih pada bab Khalifah Umar Abd Aziz dilantik menjadi Khalifah.

Oh mari membaca. Aku sentiasa sukakan buku.

Rak buku yang dikemas akhirnya

Qider Firdaus
Bandar Baru Bangi

p(^_^)q

gambaru!!


Pengalaman menulis blog

Tajuk ini sangat menarik untuk dikembangkan isinya (tiba-tiba rasa macam baru dapat tajuk karangan dari cikgu Bahasa Malaysia waktu Tingkatan 4 dahulu *senyum). Kenapa aku menulis blog? Aku pernah menulis tentang sebabnya dan diabadikan di halaman pengenalan ringkas  mengenai blog ini (Qider’s Piece of Mind about).

suka buat komik anak-anak juga

Aku memang gemar menulis. Dorongan yang kuat untukku menulis adalah supaya aku dapat mengekalkan penguasaan bahasa di tahap paling optimum (bahasa Melayu dan Inggeris). Tetapi aku mula memasuki dunia blogging apabila aku membaca tulisan teman sekuliahku menggunakan platform blog dari Friendster. Disebabkan keterujaan aku terhadap tulisannya serta beberapa kawan lain selepas itu, aku mula menulis di blog menggunakan platform yang sama, Friendster blog. Sebenarnya, kesemua mereka banyak memperihalkan kisah hidup seharian, tetapi olahan mereka begitu menarik minatku untuk terus membaca, dan terus membaca.

Ada juga tulisan yang lain yang sangat memberi inspirasi dan juga kadangkala mententeramkan hati yang sedang gundah gulana. Ada juga tulisan yang begitu kelakar dan ada juga tulisan yang sangat merangsang otak untuk berfikir. Hal ini semua aku dapati setelah aku mula berpindah dari platform Friendster blog ke WordPress. Aku memilih WordPress kerana padaku ia platform yang ringkas dan kemas serta menepati jiwaku. Juga kerana teman sekuliahku itu turut menggunakan platform yang sama, jadi mudah untukku merujuk jika aku perlukan nasihat dalam penggunaan platform ini.

Banyak yang aku pelajari selama menulis blog ini. Antaranya, mengawal emosi dalam menulis, mengekalkan identiti dalam tulisan dan cuba untuk mengoptimumkan manfaat kepada pembaca yang berkunjung. Aku tidak menggalakkan diriku untuk menulis dalam bahasa yang kesat, menggunakan kependekan atau ringkasnya bahasa SMS serta menulis perkara-perkara gossip yang hanya akan mencacatkan kesempurnaan blog ini.

Aku juga banyak mengenali pelbagai lapisan jenis tulisan dari membaca dari satu blog ke blog yang lain. Ia banyak mengajarku dalam mencari gaya dan mengekalkan gaya menulis, memilih perkataan dan kadangkala mencipta perkataan ;-)

Aku tidak pernah mengharap kepada pembaca yang ramai, kerana aku tahu hanya sekalian yang rapat denganku sahaja yang membaca hasil tulisanku di sini. Aku pernah menimbang untuk menggunakan hosting berbayar demi menjana pendapatan dari penulisan di blog, tetapi setelah berbincang dengan teman itu dan aku sendiri pun menulis menggunakan komputer riba milik syarikat, kadangkala menulis ketika waktu bekerja ataupun publish menggunakan wifi di pejabat, maka aku terus padamkan niatku itu dan kembali kepada niat asalku, aku menulis supaya penguasaan bahasaku dapat diasah dengan baik,ia juga merupakan terapi untukku dalam menghadapi hidupku selama ini, serta seperti yang aku pernah tulis secara panjang lebar di halaman pengenalan, ia adalah untuk anak-anakku,keluargaku dan sahabat dalam mengenaliku dengan lebih rapat. Ada banyak perkara yang hendak diceritakan, tetapi lidah kelu untuk berbicara,maka menulis adalah lebih baik.

Akhirnya, aku quote antara pencetus semangat yang kuat untukku terus menulis, seorang sahabat sekuliah (yang lain) yang selalu mengikutiku dalam blog pernah menyatakan yang hidupku adalah sangat menarik dalam tulisanku, maka jawapanku kepadanya ketika itu,

‘It’s not that I had a very interesting life, but it is me who think and make my life interesting despite of so many spiteful moments

Setahun dua ini, aku banyak terbantut untuk menulis perkara-perkara yang membahagiakan kerana diselaputi emosi negatif berpanjangan, jadi aku banyak membaca semula hasil tulisanku sebelum ini dan ia telah banyak membantuku mencari ketenangan dan menguruskan fikiranku tentang kehidupan.

Menulis membuatkanku gembira dan semoga aku akan terus dan terus menulis perkara yang menggembirakan selepas ini.

Entri ini adalah untuk penyertaan Give Away Papan Kekunci Dot Com 2012.

Qider Firdaus
Bandar Baru Bangi

p(^_^)q

gambaru!!


Ada apa pada nama

Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w:”Tanggungjawab bapa kepada anaknya ialah memberikan nama yang baik dan memperelokkan adabnya.”

Riwayat al-Baihaqi

Daripada Samurah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w:”Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh (dia dilahirkan), dicukur kepalanya dan diberikan nama.”

Riwayat Ahmad

Ini merupakan dua hadith dari pelbagai hadith yang menekankan pemberian nama kepada anak. Sehinggakan dijadikan sebagai satu peranan penting kepada ibu bapa, juga hak kepada anak. Dulu ayah pernah menceritakan bahawa aku dinamakan oleh seorang ustaz yang sangat aku kenali di kampung halamanku. Malah apabila aku belajar fardhu ain di sekolah agama petang (di Perlis tiada konsep sekolah agama untuk pelajar sekolah rendah seperti di Selangor dan Johor) beliau, aku sangat teruja apabila mengetahui anak sulungnya (perempuan juga) mempunyai nama yang sama sepertiku cuma nama hadapan sahaja yang berlainan, namaku bermaksud ‘Cahaya Firdaus’ manakala nama kakak tersebut bermaksud ‘Taman Firdaus’. Ayah juga tidak membenarkan penggunaan kependekan nama,tetapi selalu memanggilku dengan namaku.

Dan itulah perkara yang sama aku praktikkan kepada anak-anakku.

Ketika aku mengandungkan si kembar dan adik si kembar, beberapa kriteria telah aku senaraikan dalam menamakan mereka. Antaranya, mesti mengandungi pangkal huruf namaku dan suami serta nama mereka mesti sama tapi tak serupa, nama lain tetapi maknanya sama (untuk si kembar) serta doa dan harapan yang aku inginkan buat mereka.

  • Rayyan

Nama kamu merupakan nama pintu syurga bagi orang-orang yang berpuasa. Ayah yang menamakan kamu sayang. Mulanya ummi ingin menamakan kamu Harith, bermaksud kuat,berusaha dengan harapan kamu menjadi manusia yang kuat mempertahankan syiar Islam. Juga kerana menurut sabda Nabi SAW :

تسموا بأسماء الأنبياء وأحب الأسماء إلى الله عبد الله وعبد الرحمن وأصدقها حارث وهمام وأقبحها حرب ومرة

“Berilah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.

Malah ketika kamu masih di dalam bilik pembedahan bersama-sama ummi, ummi telah memanggil kamu dengan nama tersebut. Tetapi apabila ayah mengetahuinya, ayah terus memberitahu ummi bahawa dia mahu menamakan kamu Rayyan. Ummi pernah bertanya sebab ayah mengambil nama tersebut, tetapi ummi telah lupa penjelasan ayah tentangnya. Mungkin apabila kamu besar nanti,kamu bolehlah bertanya sendiri pada ayah.

time ni orang tu tgh tak sihat

Yang pasti, nama kita disandarkan kepada syurga, nama kamu, pintu syurga bagi orang yang berpuasa, manakala nama ummi, nama syurga yang tertinggi. Sepanjang umurmu hampir dua tahun ini, ummi perhatikan kamu lebih sabar dan prihatin. Jika berebut barang dengan Furqan, selalunya kamu akan mengalah (walaupun lepas itu kamu akan menangis tidak puas hati). Moga nama itu memberkati kamu sayang. Moga kamu berperangai seperti orang-orang yang ikhlas puasanya, sabar, tenang dan tidak terburu-buru. Dan ummi juga mendoakan, kamu menjadi pembela yang bertanggungjawab dan abang yang penyayang terhadap adik-adik.

  • Furqan

Ummi ingin mengabadikan dan mengharapkan kamu membesar menjadi seperti Umar Al-Khattab. Jadi mulanya ummi ingin menamakan kamu Faruq tetapi maktok kurang bersetuju kerana terdapat orang yang dikenalinya yang mempunyai nama sedemikian tetapi berperangai kurang elok. Sedih juga ummi ketika itu, sehinggalah pada suatu hari ummi menonton filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’, ummi tertarik dengan nama watak kawan baik kepada watak utama.

Ummi juga tahu ada surah Furqan di dalam al-Quran. Dan ummi juga tahu, Furqan dan Faruq mempunyai kata dasar yang sama di dalam bahasa Arab yang bermaksud pemisah, dan jika mengambil dari gelaran Al-Faruq yang diberikan terhadap Saidina Umar al-Khattab ra, beliau digelar sebagai pemisah di antara haq dan batil (benar dan salah). Maka oleh itu, ummi namakan kamu Furqan dengan doa supaya kamu menjadi seorang tegas, bijak dan berhikmah seperti Saidina Umar ra dalam menghadapi fitnah hidup di dunia.

orang ni pulak sibuk nak amik gambar sendiri

Walaupun baru hendak mencapai umur dua tahun, kamu bijak memberitahu ummi apa yang kamu mahukan dan sangat tegas dengan pendirian (kalau nak makan sendiri,tetap nak makan sendiri,tidak mahu disuap dan jika tidak kamu akan memulakan aksi protes yang tidak ingin ummi dan ayah lihat). Jika bergaduh dengan  Rayyan, kamu yang selalu menang (sabar ajelah ummi, haihh). Pandai mencari permainan sendiri dan kreatif bermain (susun tong air, Tupperware). Semoga kamu menjadi sumber kekuatan buat keluarga kita.

  • Farhan

Nama kamu ummi telah tetapkan sejak di awal kandungan lagi, malah ummi pernah berpesan kepada Mak Njang dan ayah supaya menamakan kamu sedemikian jika ummi tidak sempat bersama kamu. Ya, ummi terlalu banyak diselaputi emosi negatif dan banyak menangis. Ummi dalam keadaan yang sangat-sangat tertekan. Tetapi ummi selalu mendoakan kamu terhindar daripada terkesan dari emosi negatif ummi ketika itu kerana ummi tidak sanggup kamu lahir dan menjadi bayi yang kuat menangis seperti abang-abang di awal kelahiran mereka. Dan alhamdulillah, sejam selepas kamu lahir kamu telah pandai menyusu sambil memandang muka dan erat mengenggam jari ummi.

mana gigi?

Kamu banyak tersenyum (atau tersengih mengikut dialek utara), banyak ketawa, kurang menangis berbanding abang-abang, yang pasti kamu selalu menggembirakan ummi. Dan itulah doa yang terkandung di dalam maksud nama kamu, kegembiraan (faraha). Ummi mendoakan semoga kamu menjadi sumber kegembiraan dan yang selalu membahagiakan keluarga kita.

Oleh sebab itu, ummi tidak membenarkan sesiapa pun memanggil kamu menggunakan kependekan dari nama kamu atau selain dari nama kamu atau memanggil nama kamu dalam pronunciation yang salah kerana nama adalah doa untuk orang yang dinamakan. Pada nama yang diberikan oleh setiap ibu dan bapa terdapat harapan dan doa pada anaknya. Jadi ummi pantang jika orang memanggil kamu dengan panggilan yang bukan-bukan dan ummi melarang kamu berbuat demikian terhadap sahabat-sahabat kamu nanti dan juga kepada orang lain.

semua nak tidur atas katil…

Namun doa yang selalu ummi titipkan terhadap anak-anak ummi ialah menjadi lelaki-lelaki yang diharapkan oleh Umar al Khattab ra. Beliau pernah berkata di suatu rumah di Madinah, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”

Amin

Qider Firdaus
Bandar Baru Bangi

p(^_^)q

gambaru!!


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 201 other followers